November 9, 2011

Keinsafan

Kebelakangan ini aku kerap memikirkan tentang berapa lama lagi aku akan hidup di muka bumi Allah ini. Kadang2 terfikir juga bagaimana sekiranya aku mati hari ini atau esok. Pastinya amalanku belum cukup untuk membuat aku terselamat di akhirat kelak. Takutnya memikirkan. InsyaAllah aku sedang mencuba sebaik mungkin untuk menjadi makhluk Tuhan yang baik.

Aku berkawan baik dengan seorang teman yang boleh dikatakan alim orangnya. Apabila aku berkesempatan bersolat sekali sekala bersamanya, aku selalu perhatikan dia akan membuat solat sunat setiap kali selesai solat fardu. Bila aku bertanya dia menjawab banyak fadilatnya mengerjakan solat sunat, lagipun bukannya panjang pun cuma dua rakaat sahaja.  Pengamatanku membuatkan aku ingin mengikuti apa yang dilakukan temanku itu. Bukan setiap kali selepas solat fardu , tapi aku berjaya jugalah melakukannya sekali  atau dua kali sehari. Syukur Alhamdulillah. Aku berdoa semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepadaku ke arah jalan yang diredhaiNya.

Benarlah bahawasanya dengan siapa kita berkawan akan membawa pengaruh ke dalam hidup kita. Dan apa yang kita cari itulah yang kita dapat. Suatu ketika dahulu, apabila aku menghadapi kemelut dalam kehidupan, aku merapatkan diri dan menjadi lebih pasrah dengan Tuhanku. Sewaktu itu hidupku menjadi lebih tenang dan bahagia. Tetapi ketika aku mencari dan mendapat pula teman2 yang salah, aku tidak lagi hadir apabila mengerjakan suruhanNya seperti terdahulu; aku hanya menjadi seperti robot yang cuma menjalankan rutin hariannya. Merenung kembali saat itu terasa betapa rugi dan bodohnya aku kerana boleh hanyut sebegitu.

Kini aku berdoa semoga Tuhan tidak memalingkan hatiku setelah dia memberi petunjuk dan peluang kepadaku. Sesungguhnya aku ini dari golongan orang yang menganiya diriku sendiri. Semoga Tuhan memberi kekuatan hati dan iman kepadaku.

No comments: